Saturday, February 5, 2011

Adab Zikir

ADAB ZIKIR

Ini bab pada menyatakan akan adab zikir.

Ketahui olehmu adalah zikir itu terbagi pada dua bahagian :
  1. Zikir Hasanat
  2. Zikir Darajat
Adapun Zikir Hasanat itu tidak berkehendak kepada adab, menyalahi zikir Darajat yang berhajat kepada adab.

Bermula adab zikir itu dua puluh perkara dan dibahagikan dua puluh perkara itu saperti berikut:
  • Lima perkara dahulu daripada zikir,
  • Dua belas perkara pada ketika zikir, dan
  • Tiga perkara kemudian daripada zikir.
Adapun lima perkara yang dahulu daripada zikir iaitu :

  1. Taubat daripada maksiat dan daripada yang sia-sia yang tidak memberi faedah kepada akhirat,
  2. Mandi atau mengambil air sembahyang (berwudhuk)
  3. Diam dan tetap menghasilkan benar lidahnya dengan hatinya, saperti bahwa membimbangkan hatinya dahulu daripada menyebut "LAILAHA ILLALLAH" dengan lafadz "ALLAH,ALLAH" dengan fikir tidak dengan lidah hingga tidaklah tinggal segala bimbangnya (khatharnya) lain daripada Allah Ta`ala itu bersama-sama lidahnya dengan hatinya menyebut "LAILAHA ILLALLAH"
  4. Minta tolong dengan hati masuk dalam zikir dengan hemah (azam) gurunya dan jikalau diserunya akan Syeikhnya yang memimpin majlis zikir itu, dengan lidahnya pada minta tolong pada hatinya itu nescaya harus, dan
  5. Mengiqtikadkan bahawa ia minta tolong daripada Syeikhnya itu seraya ia minta tolong daripada Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam kerana Syeikhnya itu ganti (wakil) daripada Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam.

Adapun dua belas perkara adab seketika berzikir itu :

  1. Duduk pada tempat yang suci, dengan cara duduknya saperti duduk didalam sembahyang jika ia 'mubtadi' (permulaan), kerana yang demikian itu terlebih banyak memberi bekas didalam hati, atau duduk bersalahan jika ia 'muntahi' (yang udah sampai),
  2. Menghantarkan (meletakkan) dua tangan atas kedua pahanya,
  3. Meletakkan bauan pada tempat zikir itu,
  4. Memakai pakaian yang baik, yakni yang halal lagi harum,
  5. Memilih tempat yang kelam (gelap),
  6. Memejamkan kedua matanya,
  7. Menyerupakan rupa wajah Syeikhnya antara kedua matanya (perkara adab ini terlebih muakad atau menguatkan pada ahli-ahli tasawuf),
  8. Benar ia pada zikir itu. Yakni sama padanya nyata pada orang atau tersembunyinya daripadanya,
  9. Ikhlas qasadkan zikirnya itu semata-mata kerana Allah Ta`ala,
  10. Memilih lafadz zikir itu dengan "LAILAHA ILLALLAH"  maka disebutkan sertanya dengan kuat, sempurna serta membesarkan (takzim) diaikkan lafadz "LAILAHA ILLALLAH" dari atas pusatnya, dan menyimpangkan lafadz "ILLALLAH" kepada hatinya, yang dinamai akannya pada hal keadaan mencondongkan kepalanya kepada lambongnya yang kiri serta hadhir hati yang didalamnya (maknawi), (Insya Allah, akan diterangkan kaifiyat (cara-cara) hal keadaan ini akan datang),
  11. Makna zikir itu dengan hatinya serta tiap kali daripada menyebut zikir itu,
  12. Menafikan tiap-tiap yang ada (maujud) yang lain daripada Allah daripada hatinya dengan lafadz "LAILAHA" supaya tetap memberi bekas lafadz "ILLALLAH" itu didalam hati dan kepada segala anggota.
 
Adapun tiga perkara adab selepas atau kemudian daripada zikir itu :

  1.  Hendaklah ia tetap apabila ia diam daripada zikir itu degan ikhtiarnya dan hendaklah ia hadhir hatinya kerana menanti wirid zikir, kerana menanti faedah yang hasil daripada zikir itu, mudah-mudahan dengan kurnia Allah Ta`ala, datang ia atasnya ketika itu perbaikan wujudnya, barang yang tidak dapat diperbaiki akandia dengan bersungguh-sungguh (mujahadah) dan berlatih (riyadhah) didalam masa tiga puluh tahun,
  2. Hendaklah menahankan nafas daripada keluar masuk, kerana ia terlebih segera pada membaikkan hati dan membukakan hijab dan memuruskan khuatir nafsu syaitan, dan
  3. Hendaklah menahan diri daripada minum air kemudian daripada berzikir, kerana meminum air memadamkan akan panas yang dapat daripada zikir dan menghilangkan  rindu kepada rindu (mazkur) iaitu Allah Ta`ala yang dituntut pada zikir.

Syahadan bermula segala adab zikir yang tersebut ini lazim bagi orang yang berzikir dengan ikhtiarnya.  Adapun orang yang tidak ada bahagian ikhtiar maka tidak lazim baginya segala adab ini, dan hanya adab mereka itu menerima bagi barang yang datang daripada zikir itu.

Serta hadhir hatinya kepada Allah Ta`ala dan terkadang berlaku atas lidahnya sebutan (ALLAH,ALLAH,ALLAH) atau (HUU,HUU,HUU) atau (LAA,LAA,LAA) atau (AA,AA,AA) atau (AH,AH,AH) atau (HAA,HAA,HAA) atau (HII,HII,HII) atau suara dengan tiada huruf atau ia menggetar-getar telah biasa (ghalib) atasnya zikir.  Demikianlah disebut akandia oleh Sidi Syeikh Abdul Karim al-Madani didalam kitabnya yang bernama 'Nafhatul Ilahiyah fi Kaifiyatil Sulukit Tariqah.

Sunday, January 23, 2011

Kelebihan Zikir

KELEBIHAN ZIKIR

Ketahui olehmu adalah kelebihan zikir itu beberapa perkara, yang sedikit  dapat disebutkan saperti berikut :

  1. Adalah orang zikir itu menjunjung titah Allah,
  2. Menyebut Tuhan akan mereka yang bezikir,
  3. Redha Allah Ta`ala dengan mereka yang berzikir,
  4. Kebesaran Allah dan ketinggian didalam hatinya ketika menyebut engkau akan Dia,
  5. Berbimbang engkau daripada ta`at kepada Allah Ta`ala,
  6. Hampir malaikat dan suka  mereka itu,
  7. Hampir seseorang dengan Tuhannya dengan tidak kaifiyat dan terbatas,
  8. Segera malaikat menyuratkan kebajikan,
  9. Jauh syaitan daripadanya,
  10. Orang yang berzikir Allah menunjukkan iman dan kasih kepada Allah Ta`ala,
  11. Lepas daripada munafik,
  12. Zikir memelihara daripada api neraka,
  13. Tuhan jadikan daripada orang yang berzikir dan tidak dijadikan  engkau daripada orang yang lalai,
  14. Bercahaya dan luas hati dan terbuka cahaya zikir Allah,
  15. Menjaga hati daripada lalai ketika datang cita-cita yang jahat,
  16. Orang yang zikir itu seolah-olah sekedudukan  dengan Allah dengan tidak kaifiyat dan terbatas,
  17. Dibukakan pintu langit kerana naik malaikat dengan zikir Allah,
  18. Menaik saksi  bagi engkau tiap-tiap suatu yang mendengar daripada segala makhluk dan kasihlah bumi yang engkau duduk dengannya dan bermegah ianya atas yang lain,
  19. Lembut hati dan khusuk ia pada ketika berzikir itu,
  20. Dihapuskan daripada satu kalimah zikir itu sepuluh kejahatan,
  21. Tetap hati dengan zikir Allah Ta`ala,
  22. Menyenangkan dua malaikat yang bernama Kiraman Katibin daripada menyurat segala kejahatan atasmu,
  23. Meringankan segala yang berat-berat pada hari kiamat,
  24. Adalah zikir itu afdhal daripada haji dan perang sabilillah,
  25. Allah Ta`ala berikan kepada ahli zikir lebih daripada orang yang meminta (berdoa),
  26. Orang yang berzikir melengkapi akandia Rahmat, adalah orang yang ahli zikir apabila memulai dengan zikir pada permulaan harinya dan menyudahi dengan zikir pada akhir  harinya nescaya diampunkan permulaan suratnya dan akhir suratnya dan lazim diampunkan permulaan dan akhirnya diampunkan pertengahannya,
  27. Orang yang berzikir diserukan oleh mereka itu satu seruan daripada langit " Berdirilah kamu maka sesungguhnya telah Aku gantikan kejahatan kamu dengan segala kebajikan dan diampunkan sekelian dosa kamu ",
  28. Adalah majlis zikir itu menghapuskan daripada orang mukmin seribu dosa daripada perhimpunan orang yang duduk berbuat kejahatan,
  29. Orang yang zikir itu duduk pada hari kiamat diatas mimbar daripada nur,
  30. Ahli zikir Allah adalah orang yang mulia disisi Allah Ta`ala,
  31. Orang yang ahli zikir itu yang mengambil buah daripada syurga,
  32. Ahli zikir baginya nur,

 ***والله أعلم***

Total Pageviews