Saturday, February 5, 2011

Adab Zikir

ADAB ZIKIR

Ini bab pada menyatakan akan adab zikir.

Ketahui olehmu adalah zikir itu terbagi pada dua bahagian :
  1. Zikir Hasanat
  2. Zikir Darajat
Adapun Zikir Hasanat itu tidak berkehendak kepada adab, menyalahi zikir Darajat yang berhajat kepada adab.

Bermula adab zikir itu dua puluh perkara dan dibahagikan dua puluh perkara itu saperti berikut:
  • Lima perkara dahulu daripada zikir,
  • Dua belas perkara pada ketika zikir, dan
  • Tiga perkara kemudian daripada zikir.
Adapun lima perkara yang dahulu daripada zikir iaitu :

  1. Taubat daripada maksiat dan daripada yang sia-sia yang tidak memberi faedah kepada akhirat,
  2. Mandi atau mengambil air sembahyang (berwudhuk)
  3. Diam dan tetap menghasilkan benar lidahnya dengan hatinya, saperti bahwa membimbangkan hatinya dahulu daripada menyebut "LAILAHA ILLALLAH" dengan lafadz "ALLAH,ALLAH" dengan fikir tidak dengan lidah hingga tidaklah tinggal segala bimbangnya (khatharnya) lain daripada Allah Ta`ala itu bersama-sama lidahnya dengan hatinya menyebut "LAILAHA ILLALLAH"
  4. Minta tolong dengan hati masuk dalam zikir dengan hemah (azam) gurunya dan jikalau diserunya akan Syeikhnya yang memimpin majlis zikir itu, dengan lidahnya pada minta tolong pada hatinya itu nescaya harus, dan
  5. Mengiqtikadkan bahawa ia minta tolong daripada Syeikhnya itu seraya ia minta tolong daripada Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam kerana Syeikhnya itu ganti (wakil) daripada Nabi Sallallahu `alaihi Wasallam.

Adapun dua belas perkara adab seketika berzikir itu :

  1. Duduk pada tempat yang suci, dengan cara duduknya saperti duduk didalam sembahyang jika ia 'mubtadi' (permulaan), kerana yang demikian itu terlebih banyak memberi bekas didalam hati, atau duduk bersalahan jika ia 'muntahi' (yang udah sampai),
  2. Menghantarkan (meletakkan) dua tangan atas kedua pahanya,
  3. Meletakkan bauan pada tempat zikir itu,
  4. Memakai pakaian yang baik, yakni yang halal lagi harum,
  5. Memilih tempat yang kelam (gelap),
  6. Memejamkan kedua matanya,
  7. Menyerupakan rupa wajah Syeikhnya antara kedua matanya (perkara adab ini terlebih muakad atau menguatkan pada ahli-ahli tasawuf),
  8. Benar ia pada zikir itu. Yakni sama padanya nyata pada orang atau tersembunyinya daripadanya,
  9. Ikhlas qasadkan zikirnya itu semata-mata kerana Allah Ta`ala,
  10. Memilih lafadz zikir itu dengan "LAILAHA ILLALLAH"  maka disebutkan sertanya dengan kuat, sempurna serta membesarkan (takzim) diaikkan lafadz "LAILAHA ILLALLAH" dari atas pusatnya, dan menyimpangkan lafadz "ILLALLAH" kepada hatinya, yang dinamai akannya pada hal keadaan mencondongkan kepalanya kepada lambongnya yang kiri serta hadhir hati yang didalamnya (maknawi), (Insya Allah, akan diterangkan kaifiyat (cara-cara) hal keadaan ini akan datang),
  11. Makna zikir itu dengan hatinya serta tiap kali daripada menyebut zikir itu,
  12. Menafikan tiap-tiap yang ada (maujud) yang lain daripada Allah daripada hatinya dengan lafadz "LAILAHA" supaya tetap memberi bekas lafadz "ILLALLAH" itu didalam hati dan kepada segala anggota.
 
Adapun tiga perkara adab selepas atau kemudian daripada zikir itu :

  1.  Hendaklah ia tetap apabila ia diam daripada zikir itu degan ikhtiarnya dan hendaklah ia hadhir hatinya kerana menanti wirid zikir, kerana menanti faedah yang hasil daripada zikir itu, mudah-mudahan dengan kurnia Allah Ta`ala, datang ia atasnya ketika itu perbaikan wujudnya, barang yang tidak dapat diperbaiki akandia dengan bersungguh-sungguh (mujahadah) dan berlatih (riyadhah) didalam masa tiga puluh tahun,
  2. Hendaklah menahankan nafas daripada keluar masuk, kerana ia terlebih segera pada membaikkan hati dan membukakan hijab dan memuruskan khuatir nafsu syaitan, dan
  3. Hendaklah menahan diri daripada minum air kemudian daripada berzikir, kerana meminum air memadamkan akan panas yang dapat daripada zikir dan menghilangkan  rindu kepada rindu (mazkur) iaitu Allah Ta`ala yang dituntut pada zikir.

Syahadan bermula segala adab zikir yang tersebut ini lazim bagi orang yang berzikir dengan ikhtiarnya.  Adapun orang yang tidak ada bahagian ikhtiar maka tidak lazim baginya segala adab ini, dan hanya adab mereka itu menerima bagi barang yang datang daripada zikir itu.

Serta hadhir hatinya kepada Allah Ta`ala dan terkadang berlaku atas lidahnya sebutan (ALLAH,ALLAH,ALLAH) atau (HUU,HUU,HUU) atau (LAA,LAA,LAA) atau (AA,AA,AA) atau (AH,AH,AH) atau (HAA,HAA,HAA) atau (HII,HII,HII) atau suara dengan tiada huruf atau ia menggetar-getar telah biasa (ghalib) atasnya zikir.  Demikianlah disebut akandia oleh Sidi Syeikh Abdul Karim al-Madani didalam kitabnya yang bernama 'Nafhatul Ilahiyah fi Kaifiyatil Sulukit Tariqah.

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews